Kuala Lumpur Tower Dibuka Semula Kepada Pengunjung Mulai 26 April 2025 di Bawah Pengurusan Baharu
Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Selaras dengan pengumuman daripada Kementerian Komunikasi, mercu tanda ikonik negara, Kuala Lumpur Tower secara rasminya dibuka semula kepada pengunjung bermula 26 April 2025 di bawah pengurusan LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), menandakan permulaan era baharu bagi menara setinggi 421 meter ini.
Pembukaan semula ini adalah sebahagian daripada inisiatif transformasi yang lebih meluas susulan pelantikan LSHSM sebagai pengendali baharu Kuala Lumpur Tower bermula 1 April 2025 oleh Kementerian Komunikasi. LSHSM juga menyahut saranan Kementerian Komunikasi untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien, berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.
Identiti Baharu bagi Tarikan Utama
Sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semula, dua tarikan utama di Kuala Lumpur Tower kini diperkenalkan dengan nama baharu, selari dengan aspirasi untuk memberikan pengalaman yang lebih eksklusif dan moden:
• ORBIT – restoran berputar dengan penampilan baharu yang menawarkan pengalaman menjamu selera sambil menikmati pemandangan panorama bandar raya Kuala Lumpur. Harga bermula serendah RM49 untuk kanak-kanak dan RM99 untuk dewasa.
• HEMISFERA – dewan eksklusif yang mewah untuk majlis berprofil tinggi, mesyuarat, dan acara peribadi.
“Kami amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menerajui pengurusan ikon negara ini,” kata Khairil Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, LSHSM.
"Ketika kita memulakan fasa baharu ini, semua tarikan—termasuk Sky Deck, Observation Deck, dan ORBIT Revolving Dining akan dibuka kepada pengunjung bermula esok. Selain itu, HEMISFERA Luxury Sky Hall kini sedia menerima tempahan baharu. Pembukaan semula ini bukan sekadar kesinambungan operasi, tetapi visi kami adalah untuk memperkasakan legasi menara ini dengan pelbagai inovasi baharu yang selari dengan keperluan masa kini, sambil mengekalkan nilai warisan dan budayanya.”
Semasa penutupan sementara menara ini, LSHSM telah bertungkus lumus tanpa henti untuk penambahbaikan Kuala Lumpur Tower. Perubahan menarik ini direka untuk memastikan Kuala Lumpur Tower kekal sebagai mercu tanda global yang terkemuka, menawarkan pengalaman yang moden, menarik dan mampan untuk semua pengunjung.
“Penjenamaan semula ini hanyalah permulaan—satu langkah awal ke arah transformasi menyeluruh yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” tambah beliau lagi.
Memperkukuh Jejak Digital
Seiring dengan peralihan ini, Kuala Lumpur Tower kini melancarkan platform media sosial rasmi baharu bagi berkongsi informasi terkini, mempromosikan kempen dan kandungan yang lebih menarik kepada pengunjung:
Facebook : https://www.facebook.com/kltowermalaysia
Instagram : https://www.instagram.com/kltowermalaysia
Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi digitalisasi Kuala Lumpur Tower untuk meningkatkan interaksi dalam talian dan memperkukuh hubungan dengan pengunjung di peringkat global.
Beroperasi Seperti Biasa, Dengan Lebih Banyak Penambahbaikan Akan Datang
Kuala Lumpur Tower terus beroperasi seperti biasa setiap hari dari 9:00 pagi hingga 10:00 malam, dengan tiket ke Sky Deck berharga RM50 untuk pemegang MyKad dan RM28 untuk pemegang MyKid, manakala tiket bagi pengunjung antarabangsa adalah RM140 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak. Tiket ke Observation Deck pula berharga RM30 untuk pemegang MyKad dan RM20 untuk pemegang MyKid. Bagi pengunjung antarabangsa, harga tiket ialah RM80 untuk dewasa dan RM50 untuk kanak-kanak.
Istimewa ‘welcome-back promotion’ juga akan ditawarkan secara eksklusif kepada seluruh rakyat Malaysia.
Penambahbaikan lain akan diumumkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada pelan peningkatan berterusan LSHSM. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.kltower.com atau hubungi talian Khidmat Pelanggan di 03-2630 3033. Untuk tempahan restoran, sila hubungi Orbit Revolving Dining di 03-2630 3023.
***Siaran Akhbar Tamat***
Dikeluarkan oleh: Khairil Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., bagi pihak LSH Service Master Sdn. Bhd.
Tarikh: Jumaat, 25 April 2025